Kehidupan dunia teramat memikat bagi kebanyakan insan. Betapa ramai di kalangan mereka yang silau dengan keindahannya sehingga lalai dari mengingati Allah. Justeru, marilah kita hidupkan kembali ketaatan kepada Allah dengan Zikrullah. Hati akan kembali tenang dan damai, dengan mengingati Allah...
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Lazimilah kamu dengan berzikir Ya zaal Jalali wa al-Ikram.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh (2/1256), al-Hakim (1/498-499), Ahmad (4/177), Abu Abdillah bin Mandah dalam al-Ma’rifah (13/ 1) dan dalam Tauhid (72/2), Ibn Asakir dalam Tarikh (6/107/1), semuanya daripada Ibn al-Mubarak. Al-Hakim berkata: Sahih sanad dan muwafaqah oleh al-Zahabi
Berdasarkan hadis di atas terdapat banyak fiqh dan faedahnya yang boleh dijadikan pedoman dan juga iktibar. Antaranya..
- Apabila orang soleh berkumpul, mereka akan berzikir kepada Allah SWT, sementara orang-orang yang berperilaku buruk dan durjana berkumpul, mereka akan membincangkan hal-hal yang mendekatkan mereka kepada syaitan yang terkutuk.
- Zikir orang-orang soleh adalah dengan tasbih, tahmid, bertakbir dan bertahlil sementara zikir orang-orang yang berpaling daripada Allah iaitu dengan nyanyian yang melalaikan, ghibah(mengumpat orang lain), namimah (mengadu domba) dan kekejian. Seorang penyair menggambarkan golongan dengan mengatakan:
Apabila kami sakit, maka kami berubat dengan zikir kepada Allah,
Dan tatkala kami tidak berzikir, kami akan jatuh terjerumus.
- Dia mengatakan: Wahai Tuhanku, apabila hati kami sakit, ia akan terubat dengan berzikir kepada-Mu, hingga ia sembuh. Sedangkan hati orang-orang yang lalai dan durjana, akan sakit dengan mengingati perbuatan sia-sia dan tidak akan pernah sihat selama-lamanya.
- Akan tetapi, bilakah manusia itu berzikir dengan sebanyak-banyaknya kepada Allah? Ibn al-Solah berkata: Sesiapa yang berzikir kepada Allah pada waktu pagi dan petang, ia termasuk dalam golongan orang-orang yang berzikir kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya (sama ada lelaki mahupun perempuan).
- Pada jilid yang ke-10 kitab Majmu’ al-Fatawa, karya Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, dia mengatakan bahawa: Sesungguhnya ibadah yang paling utama setelah ibadah-ibadah wajib adalah zikir. Hal ini sudah pasti menjadi kesepakatan para ulama.
- Oleh kerana itu, ada dua jalan yang menghantarkan seorang hamba itu menuju keredaan Allah, iaitu berfikir dan berzikir. Tafakur terhadap pelbagai anugerah dan nikmat Allah SWT, berzikir dengan nama-nama yang indah serta sifat-sifat Allah dan juga zikir yang sesuai dengan syariat.
Penulis asal : DR ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI